ʀᴍ92,800 ʙᴇʀᴊᴀʏᴀ ᴅɪᴋᴜᴍᴘᴜʟ. ꜱꜱʀ ᴜᴄᴀᴘ ᴛᴇʀɪᴍᴀ ᴋᴀꜱɪʜ ᴘᴀᴅᴀ ʀᴀᴋʏᴀᴛ ᴍᴀʟᴀʏꜱɪᴀ ʏᴀɴɢ ʙᴀɴᴛᴜ ʙᴀʏᴀʀ ᴋᴏᴍᴘᴀᴜɴ

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengucapkan terima kasih kepada orang ramai

yang telah menyumbang kepada tabung bantuan guaman dan kompaun #Lawan.

Tabung berkenaan sebelum ini ditubuhkan bagi membantu membayar kompaun 31 peserta

acara nyaan lilin yang ditahan di Dataran Merdeka pada Khamis lalu.

Dalam satu kenyataan, SSR memaklumkan mereka berjaya mengumpulkan sebanyak RM92,800 daripada tabung berkenaan.

“Kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan di mana kami mendapat sumbangan

sebanyak RM 92,800 di dalam masa yang cukup singkat iaitu hanya sehari.

“Sumbangan ini melibatkan transaksi oleh 668 orang yang melibatkan jumlah purata sebanyak

RM139, dan ramai juga yang turut menyumbang dengan nilai RM10 dan RM20.

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa tuntutan #Lawan didukung oleh setiap lapisan masyarakat di dalam usaha bersama

menggerakkan proses pendemokrasian di Malaysia dan menjamin kelangsungan kehidupan rakyat biasa,” tambah kumpulan itu.

Pada 19 Ogos lalu, seramai 31 individu yang terdiri daripada 17 lelaki dan 14 wanita ditahan di balai polis Dang Wangi.

Penganjur mendakwa pihak polis tidak mempedulikan tuntutan mereka untuk mengetahui apakah mereka ditangkap,

dan sebaliknya menyeret sebahagian daripada peserta ke dalam kenderaan Black Maria untuk dibawa ke balai polis.

Para peserta juga mendakwa tidak diberitahu mengenai hak mereka dan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

“Laporan yang lebih terperinci perbelanjaan untuk himpunan #Lawan dan siri protes kami

yang lain akan dikemukakan kepada umum dalam masa terdekat.

“Kepercayaan rakyat kepada gerakan #Lawan akan kami peluk erat dalam setiap gerak kerja kami.

“Sekretariat dengan ini menutup kempen tabung bantuan guaman dan kompaun #Lawan,” katanya.

Sumber:malaysiakini