(ᴠɪᴅᴇᴏ) ʟɪᴍᴘᴀʜᴀɴ ᴀɪʀ ᴅᴇʀᴀꜱ ɢᴜɴᴜɴɢ ᴊᴇʀᴀɪ ‘ᴀɴɢᴋᴀᴛ’ ᴋᴇʀᴇᴛᴀ ᴘᴇɴᴅᴜᴅᴜᴋ

Lebih 10 buah rumah di Taman Lembah Merbok, Tupah di sini turut terjejas akibat limpahan air deras yang dipercayai turun dari Gunung Jerai dekat sini petang ini.

Penduduk yang juga Imam Masjid Al Busyra Merbok, Mohd. Firdaus Mat Akhir memberitahu, aliran air Sungai Tupah semakin laju pada pukul 4 petang sebelum melimpah ke kawasan perumahan tersebut.

“Lebih 10 buah rumah yang terjejas terletak berhampiran Sungai Tupah dan air deras melimpah sehingga beberapa buah kereta beralih daripada kedudukan asalnya.

“Selain itu, banyak kayu balak dan serpihan papan rumah yang dihanyutkan air dapat dilihat di kawasan sekitar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jarak taman perumahan tersebut dengan Gunung Jerai adalah kira-kira lima kilometer.

Tambahnya, kawasan yang dinaiki air termasuk jalan sehingga paras paha sudah surut, namun aliran air sungai masih deras.

“Rumah saya bagaimanapun tidak terlibat dalam kejadian ini kerana terletak agak jauh dari sungai selain berada di kawasan lebih tinggi,” jelasnya.

Kejadian limpahan air deras dari Gunung Jerai itu menyebabkan beberapa kawasan terletak berhampiran gunung tersebut terjejas termasuk Tupah, Kampung Perigi di Yan dekat sini dan kawasan Gurun.

Beberapa kampung di kaki Gunung Jerai dilanda banjir

Penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah di sini dilanda banjir kilat berikutan kejadian limpahan air deras dipercayai akibat kejadian kepala air dari beberapa kawasan peranginan air terjun di kaki Gunung Jerai di sini pada petang ini.

Kebanyakan kampung terlibat terletak berdekatan dengan beberapa sungai di kaki Gunung Jerai di sini.

Antara kawasan peranginan air terjun itu ialah Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

Penduduk, Zamzurina Ab. Rahman, 45, berkata, dia yang berada di rumah terdengar bunyi deruan air yang kuat dari kawasan peranginan Seri Perigi di sini kira-kira pukul 3.30 petang.

“Saya terus ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah saya dan mendapati berlaku limpahan air akibat kepala air yang turun dari air terjun.

“Keadaan air deras yang turun dari kawasan air terjun itu sangat menakutkan yang mana air turut melimpah ke beberapa rumah dan chalet berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kejadian kepala air itu menyebabkan kawasan peranginan tersebut dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak.

Menurut Zamzurina, kalangan penduduk bimbang air dari kawasan air terjun itu akan melimpah lagi kerana hujan masih lebat.

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, keadaan yang berlaku sangat teruk dan beliau masih tidak mempunyai maklumat jumlah rumah yang terjejas selain sama ada berlaku kemalangan jiwa atau tidak.

“Keadaan hujan masih lebat dan ada maklumat yang saya terima beberapa rumah terletak berhampiran sungai turut dinaiki air,” katanya

Sumber Kosmo