ᴡᴀɴɪᴛᴀ ꜱᴀʀᴀᴛ ʜᴀᴍɪʟ ꜱᴇꜱᴀᴋ ɴᴀꜰᴀꜱ, ᴘᴇʀɢɪ ʙᴇʀꜱᴀᴍᴀ ʙᴀʏɪ ᴅᴀʟᴀᴍ ᴋᴀɴᴅᴜɴɢᴀɴ

Taiping: “Arwah memang terlalu inginkan anak perempuan dan teruja apabila hamil bayi perempuan. Katanya sebab ada teman memandangkan anak pertama kami lelaki,

namun tidak sangka dia ‘pergi’ bersama anak yang dikandungnya,” kata Muhamad Nor Syahiddan Mohd Yunos, 28, yang kehilangan isteri, Nur Shamira Roslan, 25, Ahad lalu.

Nur Shamira meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru iaitu sehari selepas melahirkan bayi perempuan mereka yang sudah tidak bernyawa sewaktu dalam kandungan.

Muhamad Nor Syahiddan berkata, tarikh jangkaan bersalin Nur Shamira sepatutnya semalam dengan kandungan yang sudah berada pada fasa akhir.

“Ibu bapa mana yang tidak teruja menantikan kelahiran anak berpasangan jantina memandangkan anak pertama kami, Aisy Hafiy, 4, adalah lelaki. Kami fikir memang rezeki kamilah sewaktu mula mengetahui arwah mengandungkan bayi perempuan kali ini.

“Cuma tidak sangka arwah ‘bawa’ bersama anak perempuan yang terlalu diinginkan dan tinggalkan saya bersama dengan anak lelaki kami. Sedangkan sepanjang perkahwinan kami,

arwah tidak pernah disahkan mengidap sebarang penyakit selain dari diabetes sewaktu mengandung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, arwah disifatkan isteri yang taat selain sangat memahami keadaan hidup yang sekadar ‘cukup-cukup makan’ yang dikongsi bersamanya,

memandangkan kedua-dua mereka hanya bekerja sebagai pembantu gerai di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Muhamad Nor Syahiddan berkata, dua minggu sebelumnya, arwah kelihatan sering tidak bermaya melakukan rutin harian seperti bekerja dan memasak, selain kurang meluangkan masa bermain bersama Aisy Hafiy seperti kelaziman.

“Sewaktu masih sedar, arwah juga ada berpesan agar saya menjaga Aisy Hafiy sebaik mungkin sedangkan selalunya perkataan yang digunakan adalah,

tolong tengok-tengokkan abang (Aisy Hafiy), seakan-akan arwah sudah menjangka dia akan meninggalkan kami dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurutnya, dia menemani Nur Shamira pergi membuat pemeriksaan kandungan di klinik seperti biasa pada 15 Oktober lalu, namun doktor pada masa itu tidak memberitahu mengenai penyakit lain yang dihidapi arwah memandangkan ia belum dapat dikesan.

“Pada 17 Oktober, arwah kelihatan terlalu pucat dan sangat tidak bermaya. Fikiran saya sudah lain pada masa itu lalu terus membawanya ke hospital.

Doktor memberitahu degupan jantung serta nafasnya sudah sangat perlahan manakala degupan jantung bayi yang dikandung sudah tiada.

“Saya reda apabila doktor memberitahu bayi dalam kandungan terpaksa dikeluarkan melalui pembedahan dengan keadaan arwah isteri pada masa itu sedang kritikal yang menyebabkan dia dipindahkan ke wad ICU (unit rawatan rapi) Hospital Taiping.

“Namun pada jam 9.30 malam Ahad lalu, doktor menghubungi saya menyatakan jantung arwah sudah berhenti berdegup. Saya cuba kuatkan semangat,

untuk menghubungi semua adik-beradik serta ibu dan ayah, sebelum diberitahu isteri saya sudah tiada pada jam 10.35 malam itu juga,” katanya.

Katanya, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Cheh, Bukit Gantang pada Isnin lalu.

“Saya sedar hidup perlu diteruskan juga walau dalam keadaan sebegini. Kalau kita sedih, arwah lagi akan sedih ‘di sana’. Biarlah (tahap) kesedihan itu saya seorang yang tahu walaupun dari luaran saya kelihatan tenang,” katanya.