‘ꜱᴇʟᴀᴍᴀᴛ ᴊᴀʟᴀɴ ᴋᴏᴘᴇʀᴀʟ ᴀᴢᴍɪ..’ – ᴀɴɢɢᴏᴛᴀ ᴘᴏʟɪꜱ ᴅᴇʀɪᴛᴀ ᴋᴀɴꜱᴇʀ ʀᴀʜᴀɴɢ ᴍᴇɴɪɴɢɢᴀʟ ᴅᴜɴɪᴀ

KEPALA BATAS: Tidak sampai 48 jam selepas hasrat untuk berjumpa dengan bekas rakan setugasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah,

(IPD) Seberang Perai Utara (SPU) tercapai, Koperal Azmi Kamarudin meninggal dunia akibat barah rahang pada 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, beliau telah dimaklumkan tentang berita sedih itu oleh anggotanya.

“Azmi meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari tadi…arwah meninggalkan seorang balu yang juga anggota polis berpangkat koperal,

di IPD SPU serta tiga anak berumur empat hingga sembilan tahun,” katanya melalui pesanan ringkas dalam aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Noorzainy berkata, Azmi ketika hayatnya merupakan seorang anggota polis yang berdedikasi ketika menjalankan tugas dan berharap keluarganya bersabar dalam menempuhi waktu sukar ini.

“Kita reda Allah lebih sayangkan arwah…malah impian arwah untuk berjumpa kawan-kawan lama telah direalisasikan. Diharap keluarganya tabah,” katanya.

Semalam, media melaporkan Noorzainy dan beberapa anggota IPD SPU mengadakan lawatan ke kediaman Azmi dekat Bertam di sini, yang sebelum ini berhasrat untuk bertemu bekas rakan sejawatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Azmi, 34, berasal dari Kampung Debak Betong, Sri Aman, Sarawak memulakan kerjanya sebagai anggota polis pada November 2006 di Balai Polis Kepala Batas IPD SPU,

selama lebih 10 tahun dan bertukar ke Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang sekitar 2017.

Azmi disahkan menghidap barah rahang pada 2018 oleh doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menjalani pelbagai rawatan antaranya radioterapi di Hospital Pulau Pinang namun terpaksa dihentikan kerana tidak sesuai.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim, di sini, selepas solat Asar. – BERNAMA