Berdosa Jika Anak Tidak Berikan Belanja Nafkah Kepada Ibu Ayah Hidup Susah

Berdosa Jika Anak Tidak Berikan Belanja Nafkah Kepada Ibu Ayah Hidup Susah | Dari kecil hingga dewasa ibu ayah membanting tulang menjaga dan mendidik kita sehingga menjadi orang berjaya. Tak selamanya mereka mampu bekerja.

Sememangnya ibu ayah tidak pernah berniat untuk menjadikan kita mesin ATM ketika mereka di usia tua. Tetapi sebagai anak tidak wajar jika kita melupakan segala pengorbanan mereka bukan sahaja dari segi tenaga atau wang dalam membesarkan kita.

Untung lah kalau ibu ayah yang ada duit pencen atau KWSP, kalau ibu ayah yang miskin tidak ada simpanan langsung bagaimana? Di sini lah kita sebagai anak perlu cakna soal belanja nafkah untuk ibu ayah. Bila lagi kita nak bantu ibu ayah jika bukan sekarang.

Masa untuk membalas jasa dan budi mereka walaupun pendapatan kita pun tak lah baik sangat. Namun, jika kita hulurkan belanja keperluan asas, InsyaAllah, Allah akan lorongkan rezeki buat

Tapi untuk kepastian, kita ikuti penjelasan ustaz Azhar Idrus tentang sejauh mana anak perlu beri nafkah kepada ibu ayah yang miskin atau tidak bekerja lagi.

Perlu Kah Anak Memberikan Belanja Nafkah Kepada Ibu Ayah?
SOALAN :

Jika kedua orang tua yang miskin tidak mampu bekerja untuk mencari belanja kehidupan adakah anak-anak wajib memberi belanja tersebut?

JAWAPAN :

Apabila kedua ibu bapa itu miskin maka wajib atas sekalian anak-anak mengeluarkan belanja nafkah keduanya dengan ijmak ulamak.

Berkata Imam Ibnu Al-Munzhir :

أجمع أهل العلم على أن نفقة الوالدين الفقيرين الذين لا كسب لهما ولا مال واجبة في مال الولد

Ertinya : “Telah ijmak sekalian ulama atas bahawasanya nafakah kedua ibu bapa yang fakir keduanya yang tiada pekerjaan dan tiada harta wajib atas harta anak.” (Kitab Al-Isyraf)

Oleh kerana itulah apabila anak-anak kaya dan kedua ibu bapa miskin tidak boleh dikeluarkan zakat anak-anak kepada kedua ibu bapa dari kerana telah wajib atas anak-anak ketika itu mengeluarkan belanja nafkahnya.

Telah menyebut oleh Imam Ibnu Quddamah :

ولا يعطى من الصدقة المفروضة للوالدين , ولا للولد . قال ابن المنذر : أجمع أهل العلم على أن الزكاة لا يجوز دفعها إلى الوالدين , في الحال التي يجبر الدافع إليهم على النفقة عليهم

Ertinya : “Dan tiada diberikan dari zakat bagi kedua ibu bapa dan tiada juga diberikan zakat kepada anak. Telah berkata Ibnu Al-Munzhir : Telah ijmak ulamak atas bahawa zakat tidak harus diberikan kepada dua ibu bapa pada ketika anak-anak menampung atas dua ibu bapa dengan memberi nafkah.” (Kitab Al-Mughni)

DAN TEMPAT WAJIB ANAK-ANAK MENANGGUNG NAFKAH IBU BAPA ITU DENGAN SYARAT IBU BAPA ITU MISKIN DAN ANAK-ANAK ITU ORANG YANG SENANG.

Maka jika kedua ibu bapa tidak mempunyai sedikit pun dari belanja maka wajib atas anak memberi semua belanja yang diperlukan.

Dan jika ibu bapa mampu mendapatkan separuh belanja maka wajib atas anak menampung kekurangan yang separuh lagi. Jika ada dua orang anak maka masing-masing wajib mengeluarkan separuh.

Kesimpulannya wajib atas sekelian anak mengeluarkan belanja nafaqah hidup dua ibu bapa yang miskin dan jika anak-anak sengaja tidak memberi belanja tersebut maka anak-anak itu berdosa.

Wallahua’lam

Kredit: notaustaz.com