Betulkah Haram Bermain Alatan Muzik Yang Bertali

Betulkah Haram Bermain Alatan Muzik Yang Bertali
Mungkin anda pernah mendengar mengenai haram hukumnya bermain alatan muzik yang bertali seperti gitar dan piano serta yang ditiup, iaitu seruling.

Sehingga kini, timbul kekeliruan terhadap hukum bermain alat muzik yang bertali. Kebanyakan ulama membahaskan hukumnya adalah haram disebabkan oleh dalil-dalil tertentu yang mengharamkannya.

Malah, apabila dilihat pada pendapat Imam Al-Ghazali, pengharaman alat muzik itu ada dua, iaitu al-awtar (sejenis alat muzik bertali) dan al-mizmar (sejenis seruling).

Beliau mengharamkan alat muzik tersebut kerana ia berkait rapat kepada aktiviti maksiat dan bukan kerana zatnya, iaitu alat-alat muzik ini sering dimainkan semasa aktiviti meminum arak dan dijadikan sebagai hiburan.

Apabila ditelusuri sejarah, golongan peminum arak terdahulu akan menjadikan muzik sebagai hiburan dan antara alat muzik yang digunakan ialah yang bertali dan sejenis seruling.

Apabila telah turunnya perintah Allah mengenai pengharaman arak, mereka yang pernah meminum arak berasa terkesan dan mudah teringat akan amalan tersebut apabila datangnya bunyi-bunyi muzik daripada alatan tersebut.

Oleh hal yang demikian, ramai ulama yang meletakkan hukum haram bersama dengan dalil pengharaman arak dan apa-apa yang terdekat dengannya.

Tambah Imam Al-Ghazali lagi, ia dilarang atas tuntutan ittiba’. Ittiba’ bermaksud ikutan dan contoh. Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama, iaitu alat muzik bertali dan seruling.

Dalam erti kata lain, setiap perkara yang mendorong kepada perkara haram perlu diharamkan juga sebagai salah satu usaha untuk menghalang daripada terjadinya kesesatan.

Ijma’ ulama juga berpendapat bahawa ia telah menjadi amalan orang-orang fasik kerana alatan ini dimainkan di dalam majlis hiburan yang dihidangkan arak.

Antara kategori alatan muzik yang menggunakan tali ialah biola, sejenis gambus kecil, gitar dan piano.

Menurut padangan Syeikh Abdu Al-Ghani Al-Nablusi Al-Hanafi menjelaskan bahawa jika sudah jelas akan keharaman sesebuah perkara berdasarkan dalil-dalil yang menyokongnya, maka haramlah hukumnya.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat daripada sebahagian mazhab Syafi’e, Imam Malik dan golongan al-Zahiriyyah, mereka tidak mengharamkan alatan muzik ini.

Hal ini juga telah disandarkan kepada pandangan sekumpulan para sahabat seperti Abdullah bin Umar, Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin Al-Zubir dan Muawiyah.

Menggunakan alat-alat muzik sama ada bersifat tradisi atau moden, mendengar dan menghadiri majlis yang terkandung muzik adalah dibolehkan selagi tidak disertai dengan perkara-perkara haram,

terkandung maksiat, dihidangkan arak, judi, perempuan-perempuan dan perkara yang melalaikan daripada kewajipan agama.

Muzik telah berkembang seiring dengan zaman. Manusia telah terdedah kepada ilmu dan cara pergaulan yang betul. Jika tahu membezakan antara halal dan haram, maka sudah semestinya tahu menjaga batas-batas yang ditekankan oleh Islam.

Sebagai kesimpulan, hukum bermain alat muzik seperti gitar, piano dan biola yang menggunakan tali harus hukumnya selagi mana tiada perkara yang boleh menjadikannya haram.

Bahkan, Prof Dr Yusof Al-Qaradhawiy telah mengeluarkan pendapat berkenaan seni muzik, iaitu:

“Setiap pendengar muzik sebenarnya merupakan orang yang paling mahir dalam menentukan hukum seni muzik. Sekiranya nyanyian tersebut terdapat unsur yang menaikkan syahwat, mendorong ke arah kejahatan,

menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan ibadah, maka menjadi kwajipan atas setiap pendengar muzik untuk menjauhinya dan menutup pintu fitnah itu demi memelihara dirinya dan agama.”
(Al-Qaradhawiy, 1993:23-277)

Rujukan:
Academia.edu
Mufti Wilayah

kredit: tzkrh

Mohon Subscribe Channel Nasihat Ustaz, Semoga Ada Amalan Kita Untuk Hari Ini, Jom Buat Saham Untuk Akhirat