Budak 6 tahun main pemetik api, dipercayai jadi punca rumah terbakar

Tindakan seorang kanak-kanak lelaki yang bermain pemetik api milik bapanya dipercayai telah menyebabkan kebakaran sebuah rumah di Jengka 8, Maran, kelmarin.

Menurut laporan Kosmo! Online, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu, seorang warga emas nyaris maut selepas terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dapat diselamatkan oleh penduduk kampung yang membawanya keluar semasa api sedang marak.

Kejadian tersebut sempat dirakam oleh orang ramai yang berada di kawasan tersebut dan dikongsi menerusi video di laman sosial Facebook.

‘Malang tidak berbau’

Difahamkan, bapa kepada kanak-kanak tersebut iaitu Razali Mohd. Azman berkata kejadian tersebut dipercayai bermula dari ruang tamu dimana anaknya yang berusia enam tahun bermain pemetik api.

“Seorang lagi anak saya berusia 14 tahun yang berada di tandas menyedari kejadian ini lalu berlari keluar melalui pintu dapur.
“Anak saya yang berusia enam tahun juga sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui oleh pihak media.

Kejadian berkenaan mengakibatkan Razali sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang selepas hampir 90 peratus rumahnya bersama sebuah motosikal baru musnah dijilat api.

“Pada mulanya saya hendak menunggang motosikal baharu ke ladang, namun menukar fikiran menunggang motosikal lama.

“Saya reda dengan ujian ini meskipun baru menggantikan barang-barang selepas rumah ditenggelami air banjir baru-baru ini tetapi kini semuanya musnah dalam kebakaran,” katanya pasrah.

Menjengah ke ruangan komen video itu, rata-rata warganet meninggalkan komen bermuhasabah diri agar mengambil iktibar daripada kejadian terbabit.

Mereka turut mendoakan agar ‘adik’ tersebut belajar rajin-rajin dan boleh menggantikan rumah keluarganya apabila sudah dewasa kelak.

Ambil iktibar

Semoga dipermudahkan urusan

Budak tu tak salah

Difahamkan lagi semasa kejadian, bapanya berada di ladang kelapa sawit sedang menguruskan lembu manakala isterinya keluar ke bandar untuk membeli barang keperluan.

Sumber: Kosmo! Online (Abdul Rashid Abdul Rahman), Facebook Yamaha Army