Dendar Sini Baik-Baik, Berhutang Bila Perlu. Bukan Pada Bila-Bila Masa Sehingga Menjadi Tebiat Meminjam!

Setiap orang yang berhutang, pasti punya alasannya yang sendiri. Sama ada hutang untuk melanjutkan pelajaran, hutang untuk membayar kereta ataupun sekecil-kecil hutang seperti tidak cukup wang untuk membayar makanan.

Berhutang ini pula ada pelbagai jenis ada yang berhutang dengan kawan-kawan, sanak saudara, mahupun dengan bank. Tetapi antara berhutang dengan bank dan juga orang terdekat, sudah pasti dengan orang terdekat lebih mudah bukan?

Tidak perlu sebarang dokumen atau tempoh menunggu. Namun benarkah masyarakat kita suka berhutang tetapi liat untuk bayar hutang apatah lagi apabila berhutang dengan orang terdekat?

Walaupun nilai tersebut berbeza, namun statusnya masih sama, iaitu kewajipan untuk membayar hutang tersebut. Walaupun orang yang memberi hutang kepada anda lupa akan hal tersebut, namun anda sebagai penghutang tetap wajib membayarnya. Ia adalah hak yang perlu dilunaskan.

ISLAM mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara daruriyyat (tersangat penting).

Umat Islam pula dituntut mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain termasuk memberikan bantuan sama ada melalui sedekah ataupun pinjaman bagi meringankan bebanan dan memenuhi keperluan yang ditanggung.

Firman Allah didalam Surah Al-Maidah ayat 2:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksaNya.

Disebabkan itu hukum berhutang di dalam Islam dibahagikan seperti berikut:
• Haram

Jika digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

• Makruh

Jika digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk atau penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang itu.

• Wajib

Jika seseorang itu amat memerlukan untuk menampung hidupnya dan keluarganya dalam memenuhi keperluan asasi seperti makan, minum, tempat tinggal, pakaian untuk menutupi aurat dan lain-lain.

Hukum membayar hutang adalah wajib. Ini kerana, hak mereka tidak boleh dinafikan melainkan jika mereka menghalalkannya.

Jangan ambil mudah akan perihal hutang. Jangan ambil mudah juga dengan menganggap bahawa hutang boleh menyelesaikan masalah. Selagi mampu, usahalah dengan cara sendiri dan elakkan berhutang terutamanya dalam hal-hal yang kecil.

Jangan gembira saat meminta untuk berhutang. Jangan bergembira apabila boleh berhutang. Sebaliknya, catatlah ia sebagai suatu kepentingan agar tidak terlupa untuk membayarnya.

مَنْ فَارَقَ الرُّوحُ الْجَسَدَ وَهُوَ بَرِىءٌ مِنْ ثَلاَثٍ دَخَلَ الْجَنَّةَ مِنَ الْكِبْرِ وَالْغُلُولِ وَالدَّيْنِ

Maksud: “Barangsiapa yang rohnya terpisah dari jasadnya dan dia terbebas dari tiga perkara, iaitu sombong, khianat dan hutang, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 2412)

Peristiwa Baginda Tidak Menggalakkan Hutang
Kita dapat lihat sebuah peristiwa yang menggambarkan bahawa Baginda tidak menggalakkan hutang itu diambil mudah.

Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad RA, bahawa ada seorang wanita yang ingin berkahwin dengan Baginda SAW, namun Baginda tidak tertarik kepadanya. Namun, terdapat seorang lelaki yang hadir dan menyatakan hasratnya untuk menikahi wanita tersebut.

Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau mempunyai sesuatu untuk dijadikan mahar?”

Pemuda itu menjawab: “Aku tidak mempunyai apa-apa.”

Kemudian, Baginda SAW menyuruh beliau untuk mencari sesuatu bagi dijadikan mahar walaupun hanya berupa cincin besi. Namun, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mahar. Kemudian, Baginda memanggil lelaki itu dan bertanya: “Apa yang kamu hafal dari Al-Quran?”

Kemudian, lelaki itu menjawab bahawa dia ada menghafal beberapa surah. Kemudian, Baginda SAW menjawab: “Kalau begitu, baiklah. Sungguh, aku telah menikahkan engkau dengan wanita ini dengan mahar berupa surah-surah Al-Quran yang engkau hafal.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5087)

Walau tidak mempunyai apa-apa, Baginda tetap berusaha untuk mengelakkan lelaki tersebut daripada berhutang. Walaupun boleh sahaja untuk berhutang, namun selagi boleh dielakkan, seeloknya ia dielakkan.

Kesimpulan
Tuntasnya, dalam berhutang, ingatlah ia. Paling mudah, catatlah di mana-mana nota yang penting agar anda tidak terlupa.

Jangan ambil mudah akan perihal hutang. Walaupun ia dibolehkan di sisi Islam, namun selagi punya cara lain, maka seeloknya didahului cara tersebut. Ingat, hutang itu hanya apabila perlu.

Wallahu a’alam.

Sumber: Rumaysho.com