Hidup Sempurna Tanpa Dua Tangan, ‘Ramai Yang Lihat Ia Sukar, Tapi Kekurangan Ini Adalah Kelebihan Buat Saya’

Biarpun dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, tidak mematahkan semangat orang kurang upaya (OKU), Mohd Khairuddin Che Rani, (31 tahun) untuk menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.

Malah anak ketiga dari lapan beradik yang berasal dari Kampung Banggol Ara menyifatkan dirinya cukup sempurna dengan anugerah tersebut.

“Mungkin orang lain lihat kehidupan saya sangat mencabar apabila kaki berperanan sebagai ‘tangan’ terutama ketika makan, memandu kereta, membersihkan diri dan sebagainya.

“Namun ‘alah bisa, tegal biasa’, saya dapat menjalani kehidupan normal seperti manusia yang lain walaupun tanpa tangan. Ramai yang melihat ia sukar namun kekurangan ini adalah kelebihan buat saya,” katanya ketika ditemui.

Mohd Khairuddin yang berkerja di Mouth & Foot Painting Artists Sdn Bhd berkata, dengan sepasang kaki itulah dia manfaatkan untuk mencari rezeki sebagai pelukis sepenuh masa bagi menyara keluarga.

Katanya, dia sudah berkhidmat di syarikat berkenaan selama 12 tahun berbekalkan bakat melukis menggunakan kaki yang dimilikinya.

“Setiap hari saya akan mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk menyiapkan sebuah lukisan menggunakan kaki dan sehingga kini saya sudah menghasilkan lebih 500 lukisan.

“Dalam sebulan saya mampu menyiapkan lima keping lukisan pelbagai corak mengikut kehendak pelanggan dan setakat ini lukisan paling mahal yang pernah saya hasilkan bernilai RM13,000,” katanya.

Mengimbau kembali bagaimana dia menyedari bakat yang ada padanya, Mohd Khairuddin berkata, minat itu berputik sejak berusia 12 tahun tanpa pengetahuan keluarga.

Dia berkata, minat itu semakin bercambah sehingga dia melanjutkan pengajian dalam bidang lukisan secara serius di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU Bangi.

“Saya berkemahiran dalam melukis lukisan bermotifkan abstrak, pemandangan dan sebagainya. Sekarang saya menetap di Kuala Lumpur dan tinggal seorang diri.

“Saya akan pulang ke kampung bila ada cuti dengan memandu sendiri. Walaupun serba kekurangan namun saya mampu mencari rezeki dan menyara keluarga,” katanya.

Mohd Khairuddin yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah, Kampung Siram berkata, golongan OKU tidak seharusnya mudah putus asa dengan kekurangan yang dimiliki.

Katanya, golongan OKU harus menjadikan ia sebagai kelebihan dalam meneruskan hidup.

“Kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU, bantulah mereka dengan cara melihat potensi dan berilah sokongan sebaik mungkin kerana ia akan menjadi azimat berguna buat mereka nanti,” katanya.