Innalillah… Pelakon ‘Ali Setan’ Azmil Mustapha Sudah Pergi Buat Selamanya…. Al-Fatihah

Pelakon terkenal era 1980-an, Azmil Mustapha, meninggal dunia akibat sakit jantung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Pelakon yang dikenali ramai dengan gelaran ‘Ali Setan‘ itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 65 tahun. Allahyarham meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

Berita pemergian Azmil dikongsi anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli kepada BH Online, sebentar tadi.

“Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami.

“Setakat ini, saya tidak dapat pastikan dengan tepat bila arwah bapa akan dikebumikan,” katanya.

Allayarham pernah dua kali mendirikan rumah tangga. Dalam perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan anak perempuan, Shamira. Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.

Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kesukaran bernafas dan pernah dilaporkan kritikal.

Ketika hayatnya, Allahyarham telah berhijrah dari dunia hiburan kepada dakwah islamiah. Allahyarham membawa diri ke Syria kira-kira 11 tahun lalu bagi mendalami Islam sebelum bergelar pendakwah.

-AL-FATIHAH

–BHarian