“Jangan Bangga Nikmat Dunia, Kematian Menjemput Anytime, Anyway”- Ebit Lew Nasihat Jangan Lalai

KEMATIAN itu pasti bagi setiap makhluk di muka bumi ini.

Bagaimanapun, manusia sering lupa tentang kematian kerana terlalu asyik mengejar nikmat dunia. Nikmat bersifat sementara sanggup dikejar, walhal nikmat yang sebenar adalah masuk syurga.

Pada saat mendepani pandemik Covid-19 dengan data kematian yang melebihi 50 orang sehari, sepatutnya ia menjadi peringatan untuk kita mengingati kematian.

Adakah aku akan termasuk dalam statistik kematian Covid-19? Itu kita tidak tahu, tapi yang pasti kita akan mati.

Dan pastinya ada orang telah kehilangan ahli keluarga disebabkan Covid-19.

Hanya orang yang pernah kehilangan ahli keluarga secara tiba-tiba merasai peritnya satu kehilangan.

Ditambah lagi dengan kematian disebabkan Covid-19, yang mana ahli keluarga tidak dapat mengucup dan memeluk yang tersayang serta berbakti buat kali terakhir menguruskan jenazah.

Ingatlah bahawa ini bukanlah perpisahan terakhir, tetapi ia adalah sementara.

Insya-ALLAH kita sekeluarga akan bertemu kembali.

Hayatilah firman Allah Surah Ath-Thur [52] : Ayat 21 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Berdasarkan ayat di atas, di akhirat kelak, ALLAH akan menghimpunkan kita semua bersama-sama dengan ahli keluarga kita di dalam syurga.

Inilah pertemuan yang abadi, tiada lagi perpisahan. Pertemuan yang menggembirakan buat selama-lamanya.

Tetapi ada syaratnya iaitu menjadi orang beriman.

Keimanan akan menghubungkan kita dengan ahli keluarga. Tingkatkanlah amal ibadah agar menjadi orang beriman yang sebenar-benarnya.

Menjadi orang beriman dan bertakwa juga merupakan cara kita berbakti kepada ibu bapa yang sudah pergi meninggalkan kita.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Marilah kita menjadi anak yang soleh dengan membaca al-Quran dan mengamalkan.

Membaca al-Quran sudah cukup menenangkan hati yang gundah, apatah lagi memahami dan bertadabbur setiap nasihat di dalamnya.

ALLAH yang menciptakan kita. Sudah pasti DIA tahu apa nasihat yang terbaik untuk kita dalam menghadapi takdir-NYA.

Nasihat itu ada di dalam al-Quran. Carilah dan bertadabburlah, semoga hati kita sentiasa reda dengan takdir-NYA.

Kita berada di alam kubur lebih lama daripada hidup di atas dunia ini.

Imam Syafie hidup selama 53 tahun di atas dunia, sekarang beliau sudah meninggal dunia lebih kurang 1,200 tahun.

Imam Nawawi hidup selama 43 tahun di atas dunia, sekarang beliau sudah meninggal dunia lebih kurang 800 tahun.

P Ramlee hidup selama 44 tahun di atas dunia, sekarang beliau sudah meninggal dunia lebih kurang 45 tahun.

Jadi, adakah berseronok dengan kelazatan dunia itu lebih utama daripada membina kebahagiaan di alam kubur nanti?

Baca juga 5 amalan murah rezeki, al-Quran hadis sebagai panduan

ALLAH menciptakan manusia dan jin itu adalah supaya kita beribadat kepada-NYA.

Kita hidup hanya sekali di atas dunia ini, maka jangan mudah tertipu dengan kemanisAN bersifat sementara.

Muhasabah diri, jika mempunyai wang yang lebih, rajin-rajinlah bersedekah wahai manusia, itulah bekalan untuk hidup kamu yang lebih lama di alam kubur dan di alam akhirat.

Insaflah, jangan sesekali kita berbangga dengan harta dan kehidupan di atas dunia. Kematian akan menjemput kita anytime, anyway.

Sumber: Ebit Lew Channel