Kar̷ana helah atok, mak dipkul. Dijolokny̷a dngan penyapu. Ayah p̷aksa mak tunt̷ut ‘honda pet̷ak’. Malam tu juga mak l̷ari

#Foto sekadar hiasan | Hinanya Si Pelajar Miskin V

Hi semua salam sayang dari aku si “bunga putih”. Terima kasih kepada admin yang masih lagi memilih ceritaku ini untuk disiarkan kepada semua pembaca.

Alhamdulillah, masih ada lagi pembaca yang mengikuti kisahku ini melalui ruangan ini, ataupun di ruangan ruangan yang lain. Sungguh banyak komen-komen yang membina dan mendoakan aku. Jutaan terima kasih aku ucapkan.

Hari ini aku nak tamatkan kisah aku. Sebolehnya, akan aku ringkaskan segala memori yang ada, supaya ianya sampai kepada pembaca sekalian.

Sertai Group Yang Ditaja–> Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

Inshaa Allah, aku harap semoga nukilan terakhir ini, dapat memberi manfaat kepada semua. Amin y.r.a.

Dalam 1 kampung aku punya beberapa orang mak cik. Aku namakan mereka sebagai mak cik orked, mak cik tanjung, mak cik kenanga dan mak cik kiambang.

Lahir dari keluarga yang miskin, aku sudah terbiasa disisihkan. Kadang kala nak bermain dengan sepupu sekampung pun dilarang.

Mak cik orked sering melarang anak anaknya bermain bersama adik beradikku. Katanya kami berkutu. Nak bermain boleh, tapi harus memakai “serkop” kepala supaya tidak berjangkit.

Ada juga suara- uara sumbang yang aku dengar berkata, “Jangan bermain bersama mereka nanti jadi bdoh “…

Makanya, aku banyak menghabiskan masa, bermain bersama rakan rakan lelaki, yang tinggal di hujung kampung dan anak mak cik tanjung.

Tapi, anak mak cik tanjung jarang dapat bermain bersama, kerana perlu menjaga adiknya yang kurang upaya.

Ada kalanya, pabila ada rezeki lebih, mak suka berkongsi masakan yang dimasak. Tetapi ada antara saudara mara yang geli nak makan.

Kononnya mak punya ramai anak anak yang masih kecil. Makanan yang mak masak tidak bersih. Mereka membayangkan lepas mak “cebok” anak anak, dengan tangan yang tidak bersih mak sambung memasak.

Sungguh jahil pemikiran yang seperti itu. Bertapa mereka memandang hina kepada kami sekeluarga. Mana mak tahu cerita ini? Mak cik tanjung yang rapat dengan mak yang memberitahu.

Mak cik kenanga memberi alasan “buang makanan” kerana tidak biasa makan dengan makanan yang di beri.

Pernah mak ceritakan di awal perkahwinan mak dan ayah, suami mak cik kiambang pernah meludah dan menghina mak semasa mak berjalan dihadapannya.

Begitu hinanya mak pada pandangan mata mereka. Mereka menuduh mak membomohkan ayah. Iyelah… mak janda, ayah bujang… Kolot sungguh pemikiran mereka!

Terimbau kembali disuatu masa, mak cik orked membuat kenduri hari jadi di rumahnya. Di jemputnya jiran tetangga dan saudara mara yang duduk berhampiran. Mak cik tanjung beritahu mak yang mak cik orked membuat sambutan hari jadi dan menjemput semua.

Namun semasa jamuan makanan bermula, mak cik orked terpandangkan mak yang datang agak kelewatan. Mak cik orked meluru ke arah mak dan berkata “Eh Kiantan… tak jemput pun kau datang?! Tak pelah, dah datang kau masuklah makan” mak seakan terpinga pinga waktu itu.

Ada juga mata mata yang memandang kami semua. Sambil tersenyum mak berkata “Maaflah orked, aku tak tahu pula majlis ini tidak jemput ramai orang. Tanjung yang beritahu aku, kau ada buat majlis hari ini dan menjemput semua “. Jelas mak kepada mak cik orked.

Aku dengar dengan jelas perbualan itu… bila difikir fikirkan semula kesian mak di malukan sebegitu rupa. Mungkin ada salah faham, aku sendiri tidak pasti. Kami menjamu selera tidak lama dan mak cepat cepat menyuruh kami beransur pulang…

Semasa kecil, aku dan adik beradik yang lain juga, sering disuruh oleh ayah untuk berjual dari rumah ke rumah. Kami menjual hasil perolehan hidupan laut dan sayur sayuran kampung.

Kami berpecah kepada 2 kawasan. Aku dan adik dikawasan hadapan kampung dan abang dan kakak pula di kawasan hujung kampung.

Hasil dari jualan itu jugalah sedikit sebanyak menampung pembelanjaan harian kami sekeluarga. Mak pula bertukus lumus membuat kuih muih untuk berjualan. Ayah pula kerja ikut mood dan banyak menghabiskan masa bersama kawan kawan dan tidur di rumah.

Ayah lebih suka membuat kerja kerja ringan seperti berkebun, bercucuk tanam dan kelaut. Tetapi kerjanya sikit, rehatnya yang lebih. 3 hari bekerja 4 hari berehat. 2 hari bekerja 5 hari berehat.

Begitulah seterusnya kehidupan kami semua. Patutlah dahulu kakakku suka menyanyi lagu “pak balik pak” nyanyian melati. Rupanya lagu ini khas ditujukan buat ayah…

Pernah satu ketika, waktu subuh hari, mak berseorangan bertukus lumus menyiapkan kuih muih untuk berjualan. Kebiasaannya mak akan membuat 4 jenis kuih untuk di hantar kepada pak cikku (suami mak cik tanjung) yang membantu mak meletakkan kuihnya di gerai hadapan kilang.

Tapi pada hari itu entah apa “syaiitan” yang merasuk ayah, ayah bangun tido dan menendang kuih muih yang sedang mak usahakan. Aku yang masih lena, tersedar dari tidur dan bingkas bangun. Aku tahu ini mesti ayah sedang mengamuk.

Sesampainya aku di dapur, aku tengok mak tengah membersihkan kuih muih yang bersepah di lantai. Aku cuba membantu tetapi mak menghalang. Takut nanti ayah nampak, di tuduhnya pula mak memperhambakan anak anaknya. Kasihannya nasibmu duhai ibu…

Seperti biasa pada hari itu, pak cik datang mengambil kuih. Malangnya, hanya 1 kuih sahaja yang mampu mak siapkan. Semuanya gara gara ayah yang kerasukan “syaiitan”.

” Maaflah dahan (pak cikku), hari ini aku bangun lewat, tidak sempat untuk menyiapkan kuih seperti biasa. Hari ini hanya 1 kuih sahaja yang ada “, mak berdalih dengan pak cik dahan menyorokkan hal yang sebenar.

Mengganguk faham, Pak cik dahan pun mengambil kuih tersebut dan beransur pergi.

Begitulah tabahnya hati ibuku yang menghadapi kerenah ayah yang sungguh menyiksakan. Dan kerana ini jugalah, aku tidak pernah merungut dengan apa yang terjadi kepada diriku di sekolah. Aku mahu jadi kuat, sekuat mak!!!

Masihkan kalian ingat?? pada penceritaan aku sebelum ini, ada aku nyatakan bahawa ibuku menyara anak perempuannya seorang, sebelum berkahwin dengan ayahku.

Dia ialah “kak seroja”. Salah seorang kakak yang paling aku sayangi. Kami dilahirkan oleh wanita yang sama, cuma berlainan bapa.

Selain megambil kekuatan dari semangat mak dalam membesarkan kami semua, aku juga mendapat kekuatan dan ketabahan dari liku kehidupan kak seroja.

Kekuatan inilah yang aku “pegang” dalam berhadapan dengan budak budak nakal di sekolah. “ketabahan dan kecekalan ” dalam menghadapi keperitan hidup.

Membesar dengan “ayah tiri” yang baran, bukanlah sesuatu yang mudah. Apetah lagi bila ibu mempunyai anak yang ramai, hasil dari perkahwinan yang baru.

Sejak kecil, kak serojalah yang banyak menjaga kami semua dan membantu mak di rumah.

Jarak umur aku dan kak seroja lebih kurang 6 tahun. Mak berkahwin dengan ayahku semasa kak seroja berusia lebih kurang 3tahun. Apabila sudah sedikit besar, kak seroja sudah diajar untuk menjaga adik adik yang lain.

Waktu usia kanak kanak kak seroja, kebanyakannya dihabiskan untuk menjaga kami semua. Waktu bermain juga, kak seroja perlu mengendong dan menjaga kami. Jika terjadi apa apa kecelakaan kepada kami, kak serojalah orang yang akan teruk dipkul oleh ayah.

Masih aku ingat, petang itu, kak seroja disuruh oleh mak pergi ke kedai membeli barang dapur yang kurang. Tiba tiba kak melati meminta untuk ikut menemani kak seroja.

“Tak payah la ikut, kak seroja nak pergi sekejap sahaja, tinggal sahaja di rumah” pujuk kat seroja kepada kak melati. Namun entah mengapa kak melati bertegas untuk ikut menemani.

Akhirnya kak seroja mengalah dan membawa kak melati ikut menemaninya ke kedai. Kak melati duduk di tempat duduk belakang. Tak lama selepas itu, kak seroja pulang dan Aku mendengar bunyi kecoh di luar rumah.

Rupa rupanya ibu jari kak melati tersepit rim basikal. Berdrah drah kaki kak melati. Kak melati menangis sambil menahan kesakitan.

Mak pula, cepat cepat memberikan pertolongan kepada kak melati. Membersihkan luka serta menyapu minyak gamat ditempat luka tersebut dan membalutinya dengan kain putih.

Itu pengetahuan pembaca sekalian, ayah tidak suka jika anak anaknya dihantar ke hospital. Baginya, ubat ubatan yang ada dihospital itu, semuanya berasaskan “d4dah” dan tidak elok untuk anak anaknya.

Jadi, tiap kali kami ditimpa kecelakaan, mak hanya akan memberikan rawatan secara “kampung” (menyapu minyak gamat dan membalut luka dengan kain putih).

Kadang kala, ada juga mak sembunyi sembunyi membawa kami ke hospital untuk mendapatkan rawatan tanpa pengetahuan ayah.

Tapi… malang bagi nasib kak seroja. bila ayah dapat tahu kaki kak melati tersepit basikal, tanpa usul periksa ayah terus mengambil tali pinggang dan memukul kak seroja sekuat hati. Zass!!! Zass!!! pukulan demi pukulan dilemparkan ke atas susuk tubuh kecil kak seroja.

“Sakit ayah!!! Maafkan seroja ayah!!! Maaf ayah… seroja minta maaf!!!” rayu kak seroja seraya menahan kesakitan. Ayah tidak peduli, masih terus memukul melepaskan amarah.

Mak yang sedang membalut luka kak melati bingkas bangun mendapatkan kak seroja. Mak memeluk dan melindungi kak seroja. “Cukoplah bang! cukop!! Kesian seroja… sudah sudah lah pukul seroja” rayu mak kepada ayah.

Entahkan bila ayah berhenti memukul kak seroja, tidak pernah aku perhitungkan. kerana aku sendiri takut dengan amarah ayah. Aku hanya melihat kaku dengan lidah yang terkelu. Perit… perit sungguh apa yang kak seroja lalui.

Ini bukan lah kali pertama kak seroja dipukul. Malah apa sahaja salah kecil atau besar yang kak seroja lakukan, pasti kak seroja akan dipukul.

Malah jika terjadi apa apa kepada kami yang bukan salah kak seroja pun, pasti kak seroja yang akan teruk dipukul. Emosi kak seroja dipendam sedalam dalamnya.

Semasa aku darjah 1, mak melahirkan adikku yang terakhir ” si Mawar “. Seperti biasa, kak serojalah orang yang banyak membantu mak menjaga si mawar. Aku akui, kak seroja juga punya suara yang merdu seperti mak.

Sambil menghenjut adik di buaian, sambil kak seroja menyanyi. Lagu ” Ratapan anak tiri ” itulah yang menjadi dendangan kak seroja tiap kali mendodoikan adik mawar di waktu awal hening petang.

“Aduhai malang nasibku, sejak aku hilang ayah, ku di siksa ku di hina…. Aduhai… ayah tiriku, kasihani lah diriku, bagai anak mu sendiri… Ayah tiri hanya cinta kepada, anaknya saja… sedang aku dicaci, di maki, juga dihina” sekali sekala nyanyian ini diselagi dengan air mata kak seroja.

Seingat aku, kali terakhir kak seroja tinggal bersama kami pada usianya 15 tahun. Masa itu aku darjah 3. Terjadi satu kejadian di mana aku ditimpa kecelakaan di rumah.

Ceritanya, petang itu, aku niat ingin menolong mak dan abang mengurus kayu api di belakang rumah. Entah bagai mana tiba tiba, semasa membantu abang, aku ditimpa kecelakaan. Aku menangis semahunya… pakaian ku dipenuhi drah.

Ayah yang melihat apa lagi, bukannya dia menolongku, malah dia mengambil tali pinggang dan mengheret abangku ke dalam rumah. Dipukul abangku dengan teruk. Kak seroja yang tiada kena mengena dengan kejadian tersebut juga, dipukul oleh ayah.

Seperti biasa mak lah yang menolongku semasa kejadian. Mak lah yang membasuh dan membalut luka serta membersihkan lumuran drah dipakaianku. Kerana kejadian tersebut, aku tidak hadir ke sekolah hampir 3 bulan.

Kesiannya mak waktu itu. Mana nak menolong anak yang terluka, mana nak menolong anak yang dipukul teruk oleh suami. Semuanya menjadi kacau bilau. Hanya tangisan dan pekikkan yang memecahkan kesunyian petang itu.

Tak silap aku, tak lama selepas kejadian itu, kak seroja telah lari dari rumah. Sebenarnya sebelum ini, kak seroja sudah beberapa kali lari dari rumah dan tinggal di rumah kawannya. Namun mak masih mampu memujuk kak seroja untuk pulang.

Tiap kali pulang, kak seroja pasti di pukul teruk oleh ayah… libasan tali pinggang, getah paip, sepak terajang itu perkara biasa bagi kak seroja. Hanya tangisan dan rayuan yang dipinta kak seroja supaya dirinya tidak terus di siksa.

Namun kali ini, ceritanya cukop berbeza. Kak seroja tekad memilih jalan hidupnya sendiri. Pada hari kejadian, kak seroja pulang ke rumah.

Mungkin setelah di pujuk rayu oleh mak untuk pulang. Namun bila ayah pulang kerumah dan melihat kak seroja, apa lagi terus di terkamnya kak seroja.

Di hentaknya kepala kak seroja ke diding rumah, ditendangnya kak seroja, ditariknya rambut kak seroja. Kali ini kak seroja melawan ayah sekuat hatinya.

Ditariknya juga rambut ayah, dihantuknya kepala ayah ke dinding, di tendangnya juga ayah, di tepisnya segala pukulan. Kuatnya dirimu wahai kak seroja….

Bila keadaan sudah tidak terkawal, mak masuk campur dan cuba menghentikan ayah. “sudah bang sudah!!! pergi seroja!!! Pergi!!! ” jerit mak kepada kak seroja.

Apabila kak seroja dapat melepaskan diri dari pergelutan itu, kak seroja bingkas bangun dan lari dari rumah untuk terakhir kalinya.

Hari itu jugalah kak seroja pergi dan tak lagi tinggal bersama kami. Entah apa nasib yang kak seroja lalui selepas meninggalkan rumah, hanya kak seroja saja yang tahu…

Satu lagi cerita terakhir yang ingin aku kongsikan dimana kerana “tamakkan harta”, mak aku yang menjadi mangsa. Masa kejadian aku darjah 5. Kejadian berlaku pada waktu malam. Pak cikku dahan berjalan kaki datang ke rumah. Rumahnya juga tidak jauh dari rumah kami.

“Assalamualaikum… Kiantan!!! Kiantan!!! Kau ada di dalam?!” Terdengar suara ” pak cik dahan ” memanggil mak dari perkarangan luar rumah. Mak yang baru sahaja lepas solat, bergegas bangun membuka pintu dapur.

“Akar (ayahku) ada dirumah?! Aku nak mintak kunci motor bapak (atokku). Bapak suruh aku mengambil kunci motor akar, dia nak pinjam sekejap.” helah pak cik kepada mak.

“Aku tidak berani nak memberi kunci motor ini pada kau dahan. Kau tunggulah sampai akar pulang. Kau bercakap sendiri dengan akar. Kau tahulah, kalau aku beri kunci ini kepada kau, kalau akar tak setuju, nanti dipukulnya pula aku” jelas mak kepada pak cik dahan.

“Tak apa… kau bagi sahaja kunci ini pada aku. Cakap sahaja bapak yang suruh minta.” pujuk pak cik kepada mak. Setelah dipujuk rayu akhirnya mak akur dan menyerahkan kunci kepada pak cik dahan. Malam itu pak cik dahan pulang membawa motor itu ke rumahnya.

Seperti biasa, ayah pulang lewat malam ke rumah. Mak menunggu ayah dengan sabar untuk memberitahu ayah tentang motor yang di ambil oleh pak cik dahan.

Sesampainya ayah di rumah, mak segera memberitahu, yang pak cik dahan datang ke rumah meminjam motor atas arahan atok.

Mendengar cerita mak, apa lagi ayah terus “naik hantu”. Di capainya batang penyapu dan dipukulnya mak sekuatnya. Aku yang masih belum tidur pada waktu itu, berlari ke dapur dan memeluk mak.

Aku cuba untuk menyelamatkan mak supaya ayah tidak memukul mak. tetapi, ayah terus memukul mak bertalu talu tanpa henti. Sesekali mak menepis. Di joloknya pula batang penyapu tersebut ke perut mak. Aku tetap erat memeluk mak.

Aku menangis menyuruh ayah berhenti. Mak juga turut menangis sambil menahan kesakitan. Sesekali mak meminta ayah untuk berhenti, namun hanya sia sia. Rayuan kami tidak di endahkan langsung.

“Kenapa kau bagi kunci motor itu kepada dahan?!!! Kau ambil semula kunci motor itu ke rumah dahan sekarang!!!! Bawak motor tu balik semula!!!”, pekik ayah kepada mak…

Mak tertempang tempang berjalan kaki ke rumah pak cik dahan untuk mengambil motor tersebut. Aku juga menyusur mak dari belakang sambil menahan tangisan.

Sesampainya mak di perkarangan rumah pak cik dahan, mak melihat atok juga berada di sana. Sedang berbincang bincang dengan pak cik dahan.

Rupa rupanya, atok sedang dalam proses menjual motor tersebut kepada pak cik dahan. Mak datang ke arah mereka dan dengan lembut meminta pak cik dahan memulangkan kembali kunci yang telah di berikan tadi. Namun pak cik dahan enggan memberi semula.

Tak lama ayah juga sampai di perkarangan rumah pak cik dahan. Ayah nampak mak belum lagi mendapatkan kunci tersebut, ayah pukul mak lagi dihadapan mereka semua… betalu talu ayah memukul mak.

Aku mula menagis… kejamnya kamu semua wahai manusia, kerana kamu mak aku menjadi mangsa!

“Kau ambil semula kunci motor yang kau bagi tu sekarang!!!!” Pekik ayah kepada mak…. melihat mak di pukul teruk oleh ayah, pak cik dahan cuba membantu menghalang ayah. Akhirnya pak cik dahan mengalah dan menyerahkan kunci motor itu kepada ayah.

Entah apa mereka bertengkar sesama sendiri selepas itu aku tidak endahkan… Selesai sahaja mendapatkan kunci motor tersebut, mak pulang bersamaku ke rumah dengan menolak motor tersebut. Malam itu juga, mak lari meninggalkan kami semua.

Sebelumnya, setiap kali mak lari dari rumah, pasti mak membawa kak seroja bersama. Tapi disebabkan kak seroja sudah lama keluar dari rumah, kali ini mak pergi membawa diri bersendirian.

Mak cik tanjung (isteri pak cik dahan) yang memberi mak duit untuk melarikan diri ke pangkuan keluarganya. Sungguh baik hati mak cik tanjung.

Inilah paling lama mak meninggalkan kami semua. Hampir sebulan lebih lamanya. Selama itu jugalah aku dan yang lain tidak bersekolah.

Sehinggalah cikgu datang ke rumah kami untuk mendapatkan kepastian. Aku tidak tahu apa yang ayah beritahu cikgu, tapi hanya sekali itulah cikgu datang ke rumah kami.

Kerana mak lari terlalu lama ayah cuba memujuk mak. Ayah menelefon mak dari nombor yang diberikan oleh mak cik tanjung. Itu pun atas kebenaran mak. Kali ini Mak pula mengugut ayah. Mak yang bercerita semula kepada kami.

“Kalau awak pukul saya sekali lagi, saya bersumpah, saya tak akan jejak kan kaki saya lagi ke rumah ini. Awak jagalah anak anak awak. Saya akan pulang selamanya kepangkuan keluarga saya “. Ayah takut dengan ugutan mak. Ayah tahu kali ini mak nekad.

Sejak kejadian itu ayah tidak lagi memukul mak. Tiap kali ayah marah, ayah hanya akan memecahkan barang barang di dapur atau memaki hamun sahaja.

Mak pula hanya membuat pekak tuli dengan perangai ayah. Selagi tidak memukul, mak bertahan demi anak anak. Itulah yang mak sering katakan.

Bila aku meningkat dewasa, barulah aku tahu cerita sebenar. Mak menceritakan semula kepadaku bahawa, beberapa minggu sebelum kejadian, ayah telah “membeli” motor tersebut daripada atok.

Tetapi kerana tamakkan harta, atok merancang menjual pula motor tersebut dengan pak cik dahan.

Motor yang direbutkan itu hanyalah motor “honda petak lama”. Nasiblah motor itu dikembalikan. Tapi… Berbaloikah semua yang terjadi, hanya kerana sebiji motor usang?! Entahlah… aku tidak punya jawapan untuk itu…

Kerana keperitan dan liku liku kehidupan semalam…. Aku telah pun berjaya mendapatkan segulung ijazah dari universiti tempatan.

Sekarang, aku bekerja dalam bidang pengurusan di negara 4 musim yang berpaksikan “mountain time” sebagai rujukan waktu.

Aku memilih jalan hidup bersederhana. Memilih teman hidup yang tidak punya apa, Namun… alhamdulillah kami bahagia. Dia menjagaku selayaknya aku sebagai seorang wanita. Dalam usiaku 30-an aku sudah hampir kepada “Financial freedom” (bebas hutang).

Aku belum direzekikan cahaya mata, tetapi aku tetap bersyukur seadanya. Cukoplah dengan istana kecilku yang ada, kenderaan marhaen yang mampu membawa kami kemana mana dan sedikit simpanan untuk masa tua.

Adik beradik yang lain juga hidup bahagia dengan keluarga masing masing. Kak seroja juga sudah punya cucu…

Oh ya… kak seroja berkahwin semasa usianya 16tahun. Sekarang kak seroja sudah gembira bersama anak anak dan suami tercinta, walaupun di duga dengan konflik tinggal bersama mertua pula.

Ayah yang semakin tua sudah banyak berubah. Mak pula masih setia mempertahankan rumah tangga.

Kadang kala ada juga sikap sikap ayah di masa muda yang masih lagi tersisa, membuatkan kami semua pening kepala. Doakan semoga ayahku berubah sepenuhnya, sebelum masanya dia bertemu dengan Pencipta yang maha Esa.

Selagi mana kita bernafas di muka bumi ini, selagi itulah kita tidak akan pernah berhenti berhadapan dengan ujian…. Malahan kemahsyuran dan kemewahan juga satu ujian buat kita semua.

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada daripada membandingkan dengan apa yang kita tak punya.

Kepada mereka yang mengatakan ceritaku ini hanya rekaan semata, bersyukurlah kerana kamu melalui zaman kanak kanak yang penuh bahagia. Bersyukurlah kerana bukumu tidak pernah dikoyakkan.

Kasutmu tidak pernah ditendang tendang. Alat tulismu tidak pernah di buang dan di rosakkan. Dan kamu tidak hidup dengan cacian dan penghinaan.

Jangan kerana kamu tidak pernah melaluinya, kamu menafikan yang cerita ini ada. Terserah kamu untuk tidak percaya, kerana aku hanya berkongsi cerita. Jika mampu di undurkan masa, aku tidak mahu kembali lagi ke zaman kanak kanak yang penuh derita.

Salam sayang buatku untuk semua pembaca. Terima kasih kerana sudi membaca cerita silam, yang sudah lama terpendam. Terima kasih kerana menjadi pembaca yang setia.

Kepada pembaca yang sudi memberi nasihat dan juga kata kata hikmat aku doakan semoga kita semua selamat dunia akhirat. [Ghost hugs; you can’t feel it, but it’s there!]

Akhir kata dariku… Tetaplah kuat dalam mengharungi apa sahaja dugaan hidup… “Yang berlalu biarkanlah ianya pergi, akan ku genggam, ku simpan jadikan azimat sepanjang hayat. Tak hidup dipuji, tak mati dek keji”

Aku yang berdamai dengan takdir;

Sumber – Bunga Putih (Bukan nama sebenar) via IIUMC | edisimedia

Pihak Media Portal tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page Media Portal Ya.

Jemput join group ni, sama2 kita berkongsi info islamik. inshaAllah bermanfaat disana. terima kasih atas kerja sama anda semua.
Nak Join –> Klik Disini

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut: