‘Khabar duka’- Kenderaan KKM kemal4ngan, jururawat dan pemandu mavt di tmpat kejadian

PEKAN – Dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan maut manakala tiga cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Tanjung Batu, di sini.

Pemandu Toyota Hilux, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Tiga yang cedera ialah pegawai perubatan PKD Pekan, Muhd Ikhwan Ramlee, 29, yang juga penumpang hadapan pacuan empat roda serta pemandu Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41 dan anak perempuannya, Nur Mawaddah Mazuha @ Nazuha Umur, 5.

Dua lagi yang terbabit dalam kemalangan itu, Ahmad Qardhawi Najmi Mazuha @ Nazuha, 12, yang menaiki Perodua Myvi dan pemandu lori tangki berumur 34 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, kemalangan itu membabitkan lori tangki, kenderaan pacuan empat roda dan kereta berlaku pada 10.20 pagi.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan dari Rompin menghala ke Kuantan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan Perodua Myvi dan Toyota Hilux.

“Akibat kemalangan itu, Toyota Hilux, Mohd Zuhairi bersama penumpang belakang, Julayha meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Katanya, Muhd Ikhwan yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini manakala Azlida dan Nur Mawaddah menerima rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi.

“Pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran Facebook Unit Promosi Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, warga PKD Pekan mengucap takziah kepada keluarga kedua-dua Allahyarham.

“Dukacita dimaklumkan Allahyarham Mohd Zuhairi dan Julayha meninggal dunia ketika dalam perjalanan menjalankan tugas rutin pasukan bergerak Orang Asli (PBOA) PKD Pekan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Sumber: santaikaw