KJ Bidas Permohonan Maaf Dari JKR Kuala Langat Selepas Menjadi Bualan Netizen, “Jangan Sebab Saya Menteri…”

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin menjelaskan tujuan beliau memuat naik insiden terjatuh ketika berbasikal menerusi Twitternya hanya untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan lain.

Bagaimanapun beliau tidak menyangka perkongsian itu mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR.

“Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat.

“Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula,” katanya menerusi hantaran Transformasi Bersama KJ di Facebook pada Isnin.

Jelas Ahli Parlimen Rembau itu, beliau tidak nampak lubang pada jalan berkenaan.

“Kalau kita nampak, boleh elak. Tetapi saya yang berbasikal dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?

“Jadi, saya ambil pandangan positif maklum balas pelbagai pihak yang ingin saya kemalangan ketika melalui kawasan mereka supaya tindakan segera dapat diambil.

“Isu pokoknya, masalah jalan berlubang ini memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata isu permohonan maaf ini tidak lagi disensasikan.

“Tidak ada isu permohonan maaf kepada Khairy (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin) kerana kita juga ada buat permohonan maaf dalam kes lain sebelum ini. Saya harap ia tidak disensasikan lagi.”

“Kalau ikutkan, jalan berlubang ini ada di mana-mana dan saya perlu meminta maaf setiap hari kerana perkara ini. Tetapi kita tumpu untuk pembaikan demi kebaikan bersama,” katanya.

Katanya, isu berkenaan tidak perlu disensasikan kerana tumpuan Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah bagaimana menyelesaikan aduan diterima untuk keselesaan rakyat.

Beliau berkata, kementeriannya memerlukan lebih daripada RM1 bilion untuk membaiki jalan berlubang di seluruh negara setiap tahun dan peruntukan sedia ada tidak mencukupi.

Menurutnya, JKR sudah membuat kajian bagi memastikan jalan berlubang dibaiki dengan kadar segera demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita ada aplikasi terima aduan dan memastikan tiada lagi jalan berlubang, tetapi untuk memastikannya ia selesai dalam kadar segera, tak bolehlah. Ia mengambil masa.

“Saya secara peribadi berpendapat permohonan maaf itu tidak perlu dibuat secara terbuka sebaliknya hanya ditujukan secara peribadi kepada Khairy sendiri, itu lebih baik.

“Dalam kes di Tebrau sebelum ini, kita ada memohon maaf juga. Saya sendiri turun melihat keadaan di situ. Soalnya bukan kepada menteri saja, kepada orang lain juga kita minta maaf,” katanya.

Ahad lalu, Khairy dilaporkan cedera selepas terjatuh daripada basikal akibat terlanggar lubang jalan.

Kejadian berlaku di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor ketika Ahli Parlimen Rembau itu sedang menunggang basikal di kawasan itu.

Susulan itu, JKR Hulu Langat mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada Khairy yang mendapat kecaman netizen yang menyifatkan ia sebagai layanan berat sebelah.