“Lama Kelamaan Sudah Biasa. Akhirnya, Orang Puji Atau Tidak Tetap Rasa Nak Bagi”

“SEDEKAH ada dua jenis, terang dan sembunyi. Dalam hadis nabi ada sebut, kedua-duanya baik,” kata pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Ebit memberi jawapan itu selepas pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak bertanya kaedah bagaimana cara untuk membantu orang lain dengan bersedekah, menerusi bicara soal jawab yang diadakan siaran langsung selama sejam di Instagram (IG) Live.

Menurut Ebit, seseorang yang berpengaruh di dalam masyarakat perlu melakukan sedekah secara terang-terangan supaya menjadi contoh kepada orang lain.

“Ada waktunya buat (sedekah) terang, ada waktu sembunyi. Dua-dua baik dan dalam al-Quran ada menyebut mengenainya. Dalam hadis nabi sendiri ada menyebut barang siapa mulakan kebaikan dan orang lain mengikutnya akan dapat pahala.

“Bila mula berikan (sedekah), Allah tambahkan. Allah janji siapa sedekah Allah tambah,” katanya. Menurut Ebit, amalan itu perlu diteruskan supaya menjadi kebiasaan.

“Amal baik mula buat mesti datang riak. Lama kelamaan sudah biasa. Akhirnya, orang puji atau tidak tetap rasa nak beri. Terus buat, lama-lama ikhlas itu akan datang,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, Zizan sempat meluahkan penghargaannya kepada Ebit dan kesemua petugas barisan hadapan termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya mewakili rakyat Malaysia berterima kasih kepada ustaz kerana membuatkan orang berjuang. Semua orang sudah panggil ustaz hero. Ustaz antara front liner. Saya doakan ustaz sihat sentiasa,” katanya.

Kredit harian metro

Mohon Subscribe Channel Nasihat Ustaz, Semoga Ada Amalan Kita Untuk Hari Ini, Jom Buat Saham Untuk Akhirat