PEMBELA sokong larangan jual alkohol di Ayer Keroh Country Club

BANGI, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Minuman keras bukan lambang profesional atau etika kelab golf, sebaliknya memberikan imej yang buruk kepada sesebuah organisasi termasuk negara.

Atas dasar itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyambut baik tindakan kerajaan negeri Melaka memutuskan penjualan minuman beralkohol di Ayer Keroh Country Club (AKCC) dihentikan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, arahan kerajaan perlu dihormati untuk kebaikan semua pihak.

“Kita sokong seruan untuk halang jual arak.

“Tak perlu dijelaskan lagi seperti yang diminta kerana semua agama pun tak membenarkan perkara yang merosakan fikiran,” katanya ketika dihubung Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menggesa,

kerajaan negeri menjelaskan sebab AKCC diarahkan berhenti menjual minuman beralkohol dalam premis itu berkuat kuasa, semalam.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, kegagalan menjelaskan sebab larangan itu boleh menjejaskan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan, yang hanya akan menjejaskan industri yang masih cuba pulih daripada pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, Aminuddin menegaskan bahawa minuman keras adalah etika Barat yang tidak perlu diikut atau dibanggakan.

“Banyak kerosakan hari ini berpunca daripada minuman memabukkan ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, AKCC tiada lesen menjual minuman beralkohol dalam premisnya.

Katanya, hasil semakan kerajaan negeri mendapati AKCC tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol tanpa lesen.