“Tak boleh abaikan staf dia..” – Ibu tiri teruskan bisnes milik Siti Sarah

Selepas pemergian Siti Sarah, ibu tiri arwah itu Siti Fatimah Suberi mengambil alih tanggungjawab bagi menguruskan bisnes tudung milik Allahyarham.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, dia yang mesra dipanggil Makder mengakui perlu kuat dalam meneruskan legasi yang dijayakan bersama Allahyarham sebelum ini.

“Walaupun arwah dah takde tapi dia buat saya jadi kuat dan tak boleh duduk diam. Saya perlu jaga bisnes yang arwah bangunkan selama ni.

“Saya tak boleh biarkan staf2 kesayangan dia terabai. InshaAllah saya mampu dan boleh hadapi semua ni. Saya nak bisnes terbang tinggi sebab itu impian arwah masa dia hidup.

“Setiap hari ada je benda dia nak buat untuk perbaiki kalau tak puas hati dengan kualiti produk. Doakan saya galas tanggungjawab jaga bisnes ini dengan baik ye. Amin,” tulis wanita berusia 34 tahun itu.

Tambah Siti Fatimah, dia sentiasa merindui penyanyi lagu Kesetiaan itu meskipun sudah dua bulan Allahyarham dijemput Ilahi.

“Cepat betul masa berjalan. Rindu usah cakaplah. Rasanya setiap hari masuk office mesti tenung gambar Sarah,” katanya.

Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan suami yang juga pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu selain empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, serta Ayash Affan yang kini berusia dua bulan.

Sumber: Instagram Makder