Usia 12 Tahun Sudah Peluk Islam, Ibu & Bapa Sporting Sediakan Kelengkapan Ramadan

Bagi kebanyakan mualaf, memeluk agama Islam, walaupun indah, mereka selalunya akan mendapat tentangan yang hebat daripada kalangan keluarga lebih-lebih lagi dari kedua-dua orang tua.

Bahkan kebanyakan mualaf akan dipandang hina dan dibenci oleh ahli keluarga berikutan keputusan untuk meninggalkan agama asalnya.

Pelbagai cabaran dan tekanan terpaksa dilalui oleh setiap mualaf itu, ada dihentikan pemberian wang perbelanjaan, ada yang dihalau dari rumah dan ada juga ibu bapa yang akan terus mendesak mereka supaya kembali kepada agama asal.

Walau bagaimanapun, nasib baik menyebelahi seorang remaja ini yang memilih untuk memeluk agama Islam pada usia yang sangat muda iaitu hanya 12 tahun, namun tetap mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya yang bukan beragama Islam.

Itulah yang berlaku kepada Lim Hun Keng apabila anaknya, Mohammad Firdaus Hong Abdullah yang sebelum ini beragama Buddha memilih untuk memeluk agama Islam sejak Mac tahun lalu

“Saya tidak pernah menghalang Firdaus memeluk Islam, saya memberi sokongan dan semangat kepadanya sebagai seorang bapa,” kata Lim Hun Kheng. Mengulas lanjut, Hung Kheng berkata,

anaknya itu memang sudah mempunyai minat mendalam dengan agama Islam sejak bersekolah di Tahun Satu, malahan cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Dia selalu dapat keputusan A dalam ujian Pendidikan Islam. Saya dan isteri dengan bantuan guru-gurunya membawa dia ke pejabat agama Islam Daerah Kubang Pasu untuk memenuhi keinginannya memeluk agama Islam.

“Saya memang tidak ada halangan, malahan mengizinkan dia masuk Islam, sebab dia memang mempunyai minat yang mendalam pada Islam,” ujarnya.

Sementara itu, Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong, sangat seronok dengan kedatangan Ramadan tahun ini yang mana dia dapat menunaikan solat sunat,

tarawih di masjid bersama dengan rakan-rakan Bukan itu sahaja, ibu bapa Firdaus juga tidak lepas peluang daripada turut terlibat dalam rutin bulan Ramadannya.

“Setiap hari jam 5 pagi, saya akan kejutkan anak saya bersahur, walaupun berbeza agama, saya mahu dia taat kepada perintah Tuhan,” kata Hun Kheng.

Sejurus selepas bersahur, dia akan memastikan anaknya solat Subuh sebelum menghantar ke sekolah, termasuklah menghadiri Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

Kemudian, bapa Firdaus akan membawanya ke bazar Ramadan untuk membeli juadah kegemarannya iaitu ayam bakar. “Walaupun aktiviti hariannya padat,

saya tetap mahu Firdaus mendalami agama Islam dan membenarkan dia berkawan dan belajar agama dengan keluarga angkatnya,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Firdaus pula, semenjak memeluk agama Islam, dia kini sudah mula mendapat jawapan terhadap soalan-soalan yang sering bermain difikirannya sebelum ini

“Saya juga suka mendengar kisah-kisah nabi, ajaran Islam memberi ketenangan kepada saya, malah puasa juga melatih sifat sabar dalam diri seorang muslim,” katanya murid Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Kubang Pasu itu.

Berbicara tentang kebolehannya membaca Al-Quran, Firdaus berkata dia kini sudah menganjak ke iqra tiga dan sudah menghafal bacaan di dalam solat.

Firdaus bersama datuk angkatnya, Aziz Isa. Bahkan, sekiranya terdapat masa terluang lebih-lebih lagi pada hujung minggu, dia akan berkunjung ke rumah datuk angkatnya Aziz Isa yang tinggal di Pulau Timbul,

di sini untuk mempelajari ilmu agama Islam. “Di sana saya akan belajar solat berjemaah termasuklah mempelajari agama, saya sangat suka dengan kehidupan saya sekarang.

“Ramai yang mengambil berat tentang saya, guru-guru sekolah juga sering membantu saya, pihak sekolah sudah membeli sepasang baju raya untuk saya,” tambahnya lagi.